Berita :
Pemangku Raja Mahu GLC Jadi Pemangkin Pelaburan, Bukan Lagi Sekadar Pelaksana
Pemangku Raja Mahu GLC Jadi Pemangkin Pelaburan, Bukan Lagi Sekadar Pelaksana
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
69

KUALA TERENGGANU, 21 April – Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mahu model perniagaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta di negeri ini melalui perubahan menyeluruh bagi memperkukuh struktur ekonomi negeri.

Baginda bertitah, selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035, GLC disaran beralih daripada sekadar bertindak sebagai pelaksana kepada menjadi pemangkin pelaburan.

“GLC kini disaran beralih daripada bertindak sebagai pelaksana kepada menjadi pemangkin pelaburan. GLC perlu beroperasi secara berdikari dan komersial, serta menjalinkan kerjasama strategik bersama sektor swasta untuk projek-projek berimpak tinggi.

“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan tanggungan fiskal kerajaan negeri, malah membolehkan keuntungan GLC disumbangkan semula bagi program kebajikan rakyat dan pembangunan negeri. Model kerjasama GLC-swasta yang mantap mampu memperkukuh rantaian nilai ekonomi negeri, menarik pelaburan bernilai tinggi dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, semalam.

Dalam titah sama, baginda turut menyeru kerajaan negeri merangka perancangan serta garis panduan yang teliti bagi memastikan sumber mineral dapat diuruskan dengan sebaiknya serta memberi pulangan kepada negeri.

Menurut baginda, Terengganu antara negeri yang mempunyai sumber mineral tinggi seperti emas, bijih besi dan unsur nadir bumi.

“Mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) telah dikenal pasti sebagai sumber pendapatan baharu yang berpotensi besar untuk diteroka dengan sebaiknya.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri melihat supaya polisi eksport mineral ini sebagai bahan mentah tidak lagi diteruskan, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan produk hiliran,” titah baginda.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan