• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Tidak Dipinggirkan

SETIU, 5 September - Projek pembangunan infrastruktur tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja tetapi turut dilaksanakan di sekitar luar bandar demi kesejahteraan rakyat pedalaman. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pembangunan di kawasan kampung sedang giat dijalankan termasuk usaha untuk meminimakan masalah yang ditanggung penduduk terutama pada musim tengkujuh.

"Kita agihkan sedikit sebanyak biar sama rasa, semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Untuk kali ini, jalan dan longkang U di Kampung Bukit Tanah. Insya-Allah, musim banjir akan datang, masalah air bertakung kita cuba minimakan sedaya yang boleh," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Menurutnya, sebarang pembangunan boleh dibina daripada pelbagai sumber sama ada Peruntukan Projek Kecil ADUN, Majlis Daerah, Pejabat Daerah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) malah ada ketikanya peruntukan poket  sendiri boleh dikeluarkan. 

"Fungsi kami ialah merancang, mengatur dan membuat urusan bersama agensi atau jabatan terlibat agar peruntukan yang ada dapat disalurkan serta dibelanjakan sebaiknya bagi manfaat rakyat. 

"Saya ibarat seorang ayah yang ada anak ramai. Tak boleh tunggu dan lihat sekadar apa yang mari sahaja. Perlu cergas bergerak ke sana ke mari, cari belanja dan peruntukan untuk keperluan anak-anak.

"Naik lif, turun tangga, masuk pejabat keluar pejabat. Jumpa Menteri, KSU dan pegawai-pegawai kanan kementerian. Akhirnya biarlah ada hasil yang boleh dibawa balik kepada rakyat.

"Jangan salah faham, duit pun bukan diberi kepada kita. Tapi dalam bentuk projek pembangunan melalui tatacara kewangan yang ketat," tambah beliau.