• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Tablet Percuma Bantu Pelajar Luar Bandar Bukit Besi

Oleh : Amiruddin Zamri

DUNGUN, 29 April - Pemberian tablet percuma melalui Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 2021 membantu 50 pelajar luar bandar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi untuk belajar dengan lebih berkesan.

Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, pemberian itu memberi lebih kepuasan kepada pelajar kurang berkemampuan untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR) yang akan kembali dilaksanakan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.

"Peranti ini sudah tentu penting bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Saya berharap agar ibu bapa atau penjaga berperanan untuk sentiasa memantau penggunaan agar tidak disalahgunakan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tablet berkenaan di sini semalam.

Ghazali berkata, mewakili penerima, beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas sumbangan yang sangat bermakna dalam memastikan pelajar di sini tidak ketinggalan mengikuti sesi pembelajaran tersebut.

Seorang pelajar, Ainul Nadhirah Syukri, 16, ketika ditemui menyifatkan beliau sangat bersyukur di atas pemberian berkenaan.

"Ia dapat memudahkan saya mengikuti sesi pembelajaran kerana selama ini terpaksa berkongsi peranti itu," ujarnya.

Manakala ibu kepada seorang pelajar, Asniza Wan Ismail, 45, berkata, sumbangan itu sangat membantu.

"Sudah tentu dengan kemudahan yang diberikan ini akan memberi keselesaan untuk belajar di rumah tanpa terganggu," ujarnya.


Tag: