• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Pembersihan Sampah di Aidilfitri Terima Respon Positif

KUALA TERENGGANU, 25 April - Pujian-pujian yang meluas di platform sosial, khususnya di Facebook, baru-baru ini menunjukkan kejayaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menjaga kebersihan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, para perantau yang pulang berhari raya memberikan penilaian positif terhadap tahap kebersihan tempat tersebut,  menyebabkan pengakuan terhadap kecemerlangan Exco dan seluruh PBT.

"Saya ingin menyentuh tentang Titah Tuanku berhubung dengan peruntukan sebanyak RM78.9 juta kepada PBT untuk membiayai 97 zon kawasan perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal. 

"Kita berharap peruntukan seperti ini akan terus dimanfaatkan oleh semua PBT memastikan kualiti kebersihan di tahap yang optimum sekaligus menarik kedatangan pelancong," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, pada semalam.

Oleh itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang berjaya menjaga kebersihan negeri ini.

"Tanggungjawab menjaga kebersihan ini bukan sahaja terpikul ataupun terbeban di bahu pihak berkuasa PBT atau pemerintah sahaja.

"Bahkan rakyat dan kita semua bertanggungjawab sebagai ejen kebersihan," tambah beliau.


Tag: