• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pemergian Pemilik Sabasun Satu Kehilangan Besar

KUALA TERENGGANU, 4 Jun – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, melahirkan rasa sedih atas pemergian pemilik Pasar Raya Sabasun, Allahyarham Che Salmi Che Ibrahim yang telah meninggal dunia pagi tadi.

“Antara kebaikan terbesar beliau sebelum dijemput Ilahi ialah memutuskan untuk tidak menjual sebarang produk boikot di Pasaraya Sabasun.

"Semoga Allahyarham Che Salmi ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Ahmad Samsuri turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas ujian yang dihadapi.

Untuk makluman, Allahyarham merupakan seorang yang sangat disayangi dan dihormati oleh masyarakat setempat. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat seluruh warga Terengganu. 

“Marilah kita sama-sama berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan dikurniakan keampunan serta rahmat dari Allah SWT. 

“Kepada keluarga Allahyarham, semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat sukar ini,” ujarnya.

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Kecil dalam kenyataan memaklumkan bahawa Allahyarham Che Salmi Che Ibrahim telah meninggal dunia pada jam 4.45 pagi di Kuala Lumpur.

“Masa solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar di Masjid Khalifah Jalan Pusara. Jenazah akan dikebumikan di Perkuburan Bukit Kecil,” jelasnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: