• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pemohon Bantuan Tabung Darul Iman Perlu Kemukakan Surat Pengesahan KKM

DUNGUN, 17 Ogos - Pesakit kronik yang ingin memohon bantuan menerusi Tabung Darul Iman perlu mengemukakan surat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Rugayah Mahmood berkata, keengganan pesakit untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau di hospital menjadi antara penyebab kegagalan mendapat bantuan dari tabung berkenaan.

"Untuk memohon sumbangan Tabung Darul Iman memerlukan surat pengesahan daripada doktor, kalau tidak mahu ke hospital, macam mana nak dapat surat doktor," ujarnya ketika rutin ziarah ke Pulau Serai baru-baru ini. 

Ziarah tersebut juga disertai Pembantu Penyelia Hal Ehwal Wanita Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(i-MiTS), Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Serai dan AJK Lajnah Kebajikan Muslimat DUN Rantau Abang.

Sementara itu, beliau turut menggalakkan orang ramai melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

"Pemeriksaan kesihatan sebenarnya tidaklah menakutkan. Malah, apa yang perlu ditakutkan jika penyakit lambat diketahui menyebabkan ia sukar untuk disembuhkan dan mungkin membawa mudarat," ujarnya.

Justeru, beliau menasihati supaya orang ramai mengubah tanggapan buruk dan membuang rasa takut untuk berjumpa doktor.

 


Tag: