• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pemotong Rumput Hargai Pemberian Rumah PPTS

 
MARANG, 20 Julai - Sepasang suami isteri yang hanya bergantung rezeki hasil memotong rumput menyifatkan pemberian rumah Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) secara percuma untuk mereka sekeluarga adalah hadiah yang sangat berharga.

Pemilik rumah itu, Khairi Anuar Ali, 48, mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian rumah itu.

Katanya, tidak mungkin dia mampu membina sendiri rumah kerana dia hanya mendapat pendapatan daripada kerja memotong rumput dan apa yang diperolehi juga tidak menentu serta tidak pernah mencecah RM1,000 sebulan.

“Dengan rumah yang diterima ini, pastinya dapat meringankan beban di mana sebelum ini kami terpaksa menyewa rumah kakak sejak rumah pusaka yang didiami selama ini terbakar pada pertengahan Ramadhan tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Program Serah Kunci Rumah PPTS di Kampung Gelugor, Kampung  Gong Kiat, Kampung  Pusu 3, Kampung  Pak Madah dan Kampung Rawai di sini hari ini.

Sementara itu, menurut seorang lagi penerima, Eda Rohayu Mat Rawi, 36, berkata, setelah hampir 14 tahun dia memohon rumah itu akhirnya pada hari ini dia berjaya menetap di rumah baharu itu.

“Pemberian rumah  yang diterima itu sangat membantu ekonomi kami sekeluarga yang hanya bergantung kepada pendapatan suami, Mohd Syazwan Mat Daud yang bekerja sebagai jurujual,” katanya.

Katanya lagi, pemberian rumah itu juga adalah sebagai ganti kepada rumah pusaka arwah ibu dan ayah yang terbakar pada pertengahan Ramadan 2006.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata, lebih 100 individu memohon rumah PPTS dan hanya empat rumah dapat dibina dalam tempoh setahun membabitkan peruntukan peruntukan RM200,000  di DUN terbabit.

Katanya, pihaknya mengutamakan mereka yang sangat memerlukan antaranya sebagai ganti rumah yang ditimpa bencana, termasuk kebakaran, banjir, ribut dan rumah yang dikategorikan sangat uzur.

“Apa yang pastinya, agihan rumah PPTS secara percuma itu sangat membantu ekonomi keluarga penerima, termasuk jimat duit untuk sewa rumah,” tambah beliau.