• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Pemutihan Jeti Haram Langkah Pendek Majukan Pelancongan Setiu

KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri kini dalam proses pemutihan jeti-jeti yang beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan terutamanya dari aspek keselamatan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata ia merupakan antara rancangan jangka pendek Kerajaan Negeri untuk memajukan industri pelancongan di kawasan pantai dan pulau khususnya di daerah Setiu yang berdepan dengan masalah jeti bot untuk pelancong.

"Manakala rancangan jangka masa panjang adalah termasuk meneroka potensi bagi pengurusan jeti secara bersepadu untuk ke pulau- pulau peranginan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Yusop Majid (BERSATU-Permaisuri) yang ingin tahu apakah rancangan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan negeri untuk memajukan industri pelancongan di kawasan pantai dan pulau khususnya di daerah Setiu yang berdepan dengan masalah jeti bot untuk pelancong-pelancong dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Sementara itu, mengenai isu muara cetek, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia(JPS) telah melantik perunding dari ZNK Consult Sdn.Bhd bagi menjalankan Kajian Pemuliharaan Muara Sungai Merang, Daerah Setiu. 

"Pihak JPS juga telah memohon kelulusan projek dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pemuliharaan Muara Sungai Merang ini .

"Status terkini permohonan tersebut dalam tempoh pendekatan pengurusan nilai, peringkat kejuruteraan nilai dan peringkat semakan nilai yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian," tambah beliau.