Jalur Gemilang
Berita :
Penantian 25 Tahun Berakhir, Ibrahim Akhirnya Miliki Tanah Sendiri
Penantian 25 Tahun Berakhir, Ibrahim Akhirnya Miliki Tanah Sendiri
Ezani Razali
4 jam yang lepas
119

KEMAMAN, 13 Oktober – Penantian selama 25 tahun untuk memiliki tanah sendiri akhirnya menjadi kenyataan buat Ibrahim Zakaria, 69, penduduk Kampung Geliga Pantai, apabila beliau menerima dokumen hak milik menerusi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Bangunan Kediaman DUN Cukai, Daerah Kemaman.

Ibrahim, bekas nelayan yang kini tidak lagi bekerja, meluahkan rasa syukur apabila impiannya untuk memiliki tanah sendiri akhirnya tercapai selepas sekian lama menanti.

Beliau mengakui sebelum ini tidak yakin bahawa segala proses untuk mendapatkan tanah berkenaan akan membuahkan hasil. Namun, penyerahan dokumen itu membuktikan bahawa penantiannya selama ini akhirnya terjawab.

“Saya tidak percaya untuk memiliki tanah ini akan menjadi kenyataan. Namun, hari ini semuanya terbukti. Saya telah memilikinya. Alhamdulillah,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas pemberian tersebut serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato’ Hanafiah Mat, atas perhatian terhadap urusan rakyatnya.

Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik dan Notis Borang 5A bagi RTB Tapak Bangunan Kediaman DUN Cukai, Daerah Kemaman itu berlangsung di Bilik Syarahan, Aras 3, Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, semalam.

Majlis berkenaan menyaksikan seramai 62 penerima memperoleh dokumen hak milik, manakala 14 penerima lagi menerima Notis Borang 5A.

Penyerahan tersebut merupakan satu langkah penting dalam urusan pemberian tanah kepada penerima yang terlibat, sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk merancang penggunaan tanah berkenaan bagi keperluan kediaman dan keluarga.

Bagi Ibrahim, penantian selama 25 tahun itu bukan sekadar tempoh masa, sebaliknya perjalanan panjang yang akhirnya berakhir dengan kesyukuran apabila impian memiliki tanah sendiri menjadi kenyataan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan