lightning-solid
Berita :
Pencarian Nelayan Kemboja Hilang di Perairan Pulau Redang Ditamatkan
Pencarian Nelayan Kemboja Hilang di Perairan Pulau Redang Ditamatkan
Noraini Jusoh
3 jam yang lepas
37

KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Usaha mengesan seorang nelayan warga Kemboja yang dipercayai hilang selepas terjatuh ke laut ketika menangkap ikan pada 16 Ogos lalu ditamatkan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 7 petang selepas usaha pencarian berlangsung selama tujuh hari tanpa sebarang penemuan.

“Mangsa, Chory Song, 30, dipercayai terjatuh dari Bot Pukat Jerut JFHA 300 T selepas kakinya terbelit tali unjang ketika sedang membuang unjang ke laut pada 16 Ogos lalu.

“Kejadian berlaku sekitar lokasi 6°21.139’ Utara, 103°55.028’ Timur berhampiran Pulau Redang,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan kejadian katanya, SAR diaktifkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dengan penglibatan tiga pegawai dan 14 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pahang serta empat anggota Balai Polis Pulau Redang.

“Operasi pencarian dijalankan secara berterusan dari 16 hingga 22 Ogos dengan menggunakan aset KM Sebatik sebelum digantikan KM Amanah berikutan masalah teknikal.

“Pencarian turut dilaksanakan berdasarkan kawasan yang dijana melalui sistem SAROPS, namun usaha berdepan cabaran keadaan cuaca dan laut, khususnya pada 19 Ogos apabila laut bergelora dengan ombak setinggi satu hingga dua meter serta angin kencang sekitar 30 hingga 40 knot,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, selepas tujuh hari pencarian dan pemantauan, tiada sebarang penemuan mangsa atau petunjuk baharu diperoleh.

“Pihak polis merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam usaha pencarian serta meminta sebarang maklumat atau penemuan berkaitan mangsa disalurkan segera kepada pihak berkuasa,” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan