• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pendaftaran Lesen Motosikal Percuma Dibuka

KUALA NERUS, 2 Mac- Pendaftaran permohonan Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) akan dibuka mulai 6 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, program yang merupakan salah satu daripada manifesto Kerajaan PAS Terengganu itu diteruskan dengan bantuan pembiayaan bernilai RM300 seorang bagi mendapatkan lesen motosikal di negeri berkenaan.

Jelasnya, LMTS siri ketiga itu akan diadakan dengan sasaran 15,000 penerima melibatkan kos sebanyak RM4.36 juta.

"Program ini memberi peluang kepada semua belia beliawanis Terengganu berumur 16 hingga 40 tahun

"Permohonan LMTS 2023 insya-Allah akan mula dibuka pada 6 Mac hingga 20 Mac dan boleh dimohon secara dalam talian (online) di https://ibantuan.terengganu.gov.my.

"Kita sasarkan untuk laksanakan program ini bermula April hingga Disember 2023 melibatkan 12 Institut Memandu (IM) di seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini.

Tambah Wan Sukairi, permohonan juga dibuka kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang layak memohon lesen B2.

"Mereka ini ada beberapa kategori terutama yang memerlukan keperluan dan bantuan lebih spesifik.

Kita akan menyenaraikan jumlahnya dahulu, saya yakin mereka tidak ramai dan mungkin akan dilaksanakan program khas sebagaimana saranan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.

Untuk rekod, sebelum ini LMTS dilaksanakan sebanyak dua siri dengan yang pertama (2019/2020) melibatkan 25,000 penerima dengan kos sebanyak RM6.85 juta.

Manakala, siri kedua (2020/2021) melibatkan kos RM4.25 juta untuk 15,000 penerima.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: