• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pendapatan Pemandu Teksi Terjejas, Dr Khairuddin Salur Bantuan Keperluan Harian

KUALA NERUS, 3 Jun - Prihatin dengan nasib pemandu teksi yang terkesan dengan pandemik Covid-19, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus mengambil inisiatif membantu seramai 60 pemandu daripada Persatuan Pemandu Teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali ketika dihubungi berkata, pihaknya terpanggil membantu golongan tersebut setelah mengambil maklum kesukaran yang dialami mereka setelah sektor tersebut kurang mendapat sambutan ekoran pandemik Covid-19.

“Sejak menganjurkan program bantuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini kali kedua pihak kami berikan sumbangan kepada pemandu teksi,” katanya.

Terdahulu, kesemua pemandu teksi menerima bantuan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan makanan asas yang lain berserta wang tunai dalam Majlis Sumbangan Kasih Ramadan dan Hari Raya awal Mei baru-baru ini.

Sementara itu, pemandu teksi, Rostam Mokhtar, 48, berkata, situasi pada ketika ini amat menyukarkannya untuk mendapat penumpang, malah ada hari tiada penumpang yang menaiki teksinya.

“Kebiasaannya, saya meraih pendapatan sekitar RM50 hingga RM100 sehari. Sekarang, nak dapat RM20 sehari pun sukar. Hampir 60 peratus pendapatan saya menurun.

“Dengan pendapatan yang sangat sedikit, hendak beli barang keperluan agak sukar, namun dengan adanya bantuan ini saya bersyukur dan ianya amat membantu,” ujarnya.

Pegawai Penyelaras Parlimen DUN Seberang Takir, Azmi Mokhtar menyampaikan bekalan beras dan minyak kepada wakil persatuan untuk diagihkan kepada ahli-ahli yang memerlukan.

"Yakinlah, setiap ujian itu akan hadir bersamanya hikmah yang besar sekiranya dilalui dengan sabar dan berikhtiar menyelesaikannya. 

"Sama-samalah kita berdoa semoga wabak Covid-19 ini diangkat oleh Allah SWT dengan segera," ujar beliau menyampaikan pesanan Dr. Khairuddin.


Tag: