KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Kesedaran mengenai pemeliharaan dan kebajikan haiwan bukanlah satu konsep moden yang dibawa oleh badan bukan kerajaan (NGO), sebaliknya ia merupakan teras ajaran Islam yang telah dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW sejak lebih 1,400 tahun lalu dan telah diangkat menjadi mesej utama Hari Kebajikan Haiwan 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan, umat Islam sepatutnya berada di hadapan dalam mempamerkan sifat ihsan serta kasih sayang terhadap seluruh makhluk ciptaan Allah SWT.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Hari Kebajikan Haiwan (HKH) 2026 yang berlangsung di The Payang Scout Hotel, Teluk Ketapang, di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Kesihatan Veterinar), Dr. Aida Muhid; Pengarah Bahagian Regulatori Veterinar, Dr. Tariq Jaafar; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, Dr. Anun Man serta Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka.
Mengulas lanjut, Dr. Azman memulakan ucapan perasmiannya dengan memetik hadis sahih riwayat Abu Hurairah RA berkenaan keampunan Allah SWT kepada seorang wanita Bani Israil hanya kerana tindakan ihsannya memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan di tepi perigi.

"Hadis ini memberi pengajaran yang amat mendalam bahawa amalan menjaga kebajikan haiwan adalah ajaran asas dalam Islam sejak sekian lama, bukannya agenda baharu yang dipopularkan oleh organisasi pencinta haiwan semata-mata.
"Malah, sahabat Nabi yang meriwayatkan hadis berkenaan iaitu Abu Hurairah RA yang nama asalnya 'Abdu Shams dikurniakan gelaran sedemikian khusus kerana sifat penyayang dan ihsan beliau yang amat tinggi terhadap haiwan, terutamanya kucing," jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa manusia diamanahkan sebagai khalifah di muka bumi untuk mentadbir serta memelihara alam sekitar secara saksama.
Menurutnya, bumi ini merupakan ruang perkongsian kehidupan yang merangkumi manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, sungai, laut dan gunung-ganang yang perlu diurus dengan bijaksana demi menjamin keharmonian ekosistem.
"Manusia dan haiwan mempunyai hubungan yang sangat unik. Walaupun haiwan tidak mampu berbicara dalam bahasa yang kita fahami, menjadi tanggungjawab kita sebagai manusia untuk sentiasa menyayangi dan memelihara kebajikan mereka," katanya lagi.

Pada program sama, Dr. Azman turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah bagi pelbagai aktiviti dan pertandingan yang dianjurkan.
Antara yang dipertandingkan termasuklah pertandingan mewarna, kualiti kucing kategori Shorthair dan Longhair, pertandingan kambing pejantan, serta penilaian lembu hibrid merangkumi kategori anak betina, anak jantan, induk betina dan induk jantan.
