lightning-solid
Berita :
Terengganu Sasar Keluar 1 Juta Ekor Ayam Sepusingan, Jalin Kerjasama Dengan CAB Cakaran
Terengganu Sasar Keluar 1 Juta Ekor Ayam Sepusingan, Jalin Kerjasama Dengan CAB Cakaran
Hidayah Azlin
12 jam yang lepas
133

SEBERANG PERAI, 12 Julai – Bekalan dan keterjaminan makanan di Terengganu bakal melonjak ke tahap baharu menerusi perancangan pembinaan ladang ternakan ayam berteknologi moden dengan kapasiti pengeluaran mencecah kira-kira 1 juta ekor bagi setiap pusingan.

Projek mega ini bakal direalisasikan hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Terengganu dan syarikat pelabur tempatan terkemuka, CAB Cakaran Berhad.

Sebagai langkah akhir memuktamadkan perancangan perniagaan tersebut, satu lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri Terengganu ke Ladang Ternakan Ayam CAB Cakaran Berhad di Seberang Perai, Pulau Pinang telah diadakan baru-baru ini.


Lawatan berkenaan merupakan susulan daripada siri mesyuarat, perbincangan mendalam, serta lawatan tapak yang telah diatur sebelum ini bagi memastikan projek tersebut berjalan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, terma-terma perbincangan kini telah berjaya dimuktamadkan sepenuhnya oleh kedua-dua belah pihak.


Menurut beliau, kerajaan negeri juga telah meluluskan pajakan tiga bidang tanah di daerah Setiu dan Dungun bagi tujuan pelaksanaan projek tersebut, yang akan memfokuskan kepada dua komponen utama iaitu ladang ternakan ayam pedaging dan ladang ayam baka.

"Seterusnya, Majlis Menandatangani Perjanjian antara Kerajaan Negeri Terengganu dan CAB Cakaran Berhad dijadualkan berlangsung pada 12 Ogos ini bagi menandakan bermulanya projek impak tinggi ini secara rasmi," katanya.

Pelaksanaan projek pelaburan ini digariskan mampu membawa empat manfaat utama kepada sektor agromakanan dan sosioekonomi negeri.

 
"Projek ini akan bertindak sebagai pemangkin utama dalam melonjakkan jumlah pengeluaran ayam tempatan sekali gus memperkukuh keterjaminan bekalan protein negara.


Dalam pada itu, pembukaan ladang berskala besar ini juga bakal membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat, sekali gus membantu merancakkan ekonomi domestik.

Malah, industri penternakan negeri akan menerima impak positif melalui peralihan dan penerapan sistem serta teknologi penternakan moden yang lebih cekap dan sistematik.

" Selain itu, projek ini membuka ruang kerjasama yang luas bersama penternak tempatan sedia ada melalui sistem pertanian kontrak (contract farming) demi pertumbuhan ekonomi bersama.
Projek ini dijangka bakal meletakkan Terengganu sebagai antara hab pengeluaran ayam utama yang berdaya saing, selain memodenkan landskap pertanian negeri selaras dengan agenda keterjaminan makanan negara.


Tag :

Artikel Berkaitan