• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Penentu (King Maker) Sabah Dan Sarawak, Bukan Pas Manakala Terengganu 50-50 - Mustaffa Ali


Walaupun Pas agak optimis menawan Terengganu, tetapi Pengerusi Penasihat Pas, Dato' Mustaffa Ali berpendapat kedudukan adalah 50-50, kecuali Kelantan sahaja beliau yakin Pas masih boleh menjadi kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Begitu juga, walaupun Pas mendakwa akan menjadi penting sebagai penentu (King Maker) untuk satu satu pihak menubuhkan kerajaan di peringkat Pusat, tetapi bekas Pengarah Pilihan Raya Pas itu berpendapat, 'king maker' yang sebenar ialah Sabah dan Sarawak.
Mustaffa amat yakin, Barisan Nasional (BN) masih boleh menguasai kawasan kawasan Parlimen yang majoritinya orang Melayu, khususnya di kawasan luar bandar, manakala kawasan yang majoriti Cina dikuasai DAP.
Baginya ketiadaan Pas dalam pakatan memang memberi kesan yang besar kepada pembangkang PH.
Terengganu, katanya perlawanan sebenar hanyalah BN (UMNO) dan Pas, bukan pembangkang Pakatan Harapan (PH) dan sebab itu 50-50.
Bahkan tegas Mustaffa di Kelantan PH tidak ada kemampuan untuk menghalang Pas dari terus berkuasa dan membentuk kerajaan selepas PRU14.
Sebelum ini pimpinan Pas Terengganu begitu optimis memerintah semula Terengganu.
Ketika ditanya tentang peluang Pas menawan Terengganu kali ini (PRU14) Pesuruhjaya Pas Terengganu, Dato' Hussin Awang kelihatan optimis dan berkata, peluang lebih terbuka dan lebih mudah, berbanding pilihan raya yang lepas.
Ini jelas berbeza dengan Mustaffa hanya meletakkan kedudukan Pas di Terengganu 50- 50 sahaja, kerana baginya sokongan BN di kawasan luar bandar masih kuat atas tawaran BN yang didakwa sebagai 3M (Kewangan, Kemudahan Kebendaan dan Jentera ).
Soalan: Mengapa Dato ' kata Sabah Sarawak penentu?
Mustaffa: Sebab mereka menyumbang 56 kerusi sebab itu mereka minta atau desak itu dan ini sekarang dan mereka mahu berpaut pada kerajaan yang kuat.
Soalan: Apakah Dato' tidak yakin Pas yang bertanding 130 kerusi Parlimen berupaya menang 40 dan menjadi King Maker?
Mustaffa: Saya kata Sabah dan Sarawak yang menjadi penentu (King Maker). Itu kita kena faham dinamika baru politik masa kini dan akan datang yang tidak pernah kita terfikir nanti.
Mustaffa yang juga bekas Setiausaha Agung Pas berkata, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Perak masih akan dimenangi BN walaupun di Perak dan Johor agak sengit.
Keadaan politik agak dinamik, Selangor, Kedah kata Mustaffa juga 50- 50 apatah lagi Pas tiada dalam pakatan pembangkang (PH).
'Kecuali di Pulau Pinang, saya jangkakan PH iaitu DAP kekal berkuasa, ' katanya.
Beliau berharap tiada huru hara berlaku dalam pembentukan kerajaan selepas PRU 14 nanti .
Ditanya oleh penulis tentang kenapa Tun Mahathir marahkan Dato' Sri Najib, Mustaffa berkata Tun Mahathir mahu Perdana Menteri selepasnya termasuk Najib mendengar cakap atau menurut kehendaknya.

Tag: