• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Penerima APC Perlu Terus Bersemangat, Cetus Inspirasi

KUALA TERENGGANU, 4 April – Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman menjadi platform bagi  organisasi kerajaan di Terengganu untuk terus memberi khidmat cemerlang kepada rakyat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata Penganugerahan ini merupakan salah satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan kepada warga kerja Wisma Darul Iman yang telah menunjukkan mutu dan penghasilan kerja yang melebihi keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya.

“Semoga penganugerahan ini menjadi penyuntik semangat dan pencetus azam untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang khususnya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Diharapkan anugerah ini juga menjadi pemangkin dan tanda aras kepada jabatan/ bahagian/ unit untuk terus kekal cemerlang,” ujarnya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2024.

Seramai 20 orang penerima APC Bulanan WDI bagi bulan Januari, Februari dan Mac tahun 2024 yang terdiri daripada pelbagai jabatan/ bahagian/ unit dalam Wisma Darul Iman menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM500.00 berserta sijil penghargaan.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan Penyampaian Sijil Anugerah Emas, International Business Innovation & Ideas Competition (INOVASI 23) kepada Unit Korporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu kerana telah berjaya memperoleh anugerah emas dalam pertandingan tersebut.