• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Penerima Dana Bantuan Persekolahan DUN Sura Meningkat

Wan Hapandi sedang mengambil ukuran salah seorang anak pemohon dana bantuan persekolahan yang berjaya dalam permohonan


Oleh:Mohd Asraf  Ikhwan Azahar

Dungun 3 Disember – Seramai 3,572 penerima  di Dewan Undangan Negeri(DUN) Sura layak menerima dana bantuan persekolahan 2019 berbanding 2,330 penerima pada tahun sebelumnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata kerajaan negeri telah menambah bilangan penerima bantuan persekolahan bagi tahun 2018 ini dan ia menunjukkan kerajaan negeri dibawah pemerintahan PAS tidak mengamalkan sikap pilih kasih dan diskriminasi antara rakyat.

“ Kita dapat lihat berlaku peningkatan sebanyak 1,242 orang berbanding tahun lepas  dan ini menunjukkan yang kerajaan komited dalam membantu masalah rakyat.

“Ini jelas sekali bahawa kita mengamalkan sikap tidak pilih kasih dan yang pasti mereka layak untuk memohon,”katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun (MPD) disini, hari ini.

Tambahnya, beliau sebelum ini dimaklumkan orang kampung datang berjumpa dengannya dan mengadu tidak pernah dapat bantuan ini sedangkan tergolong dalam kalangan yang layak.

“Ramai yang datang berjumpa dengan saya mengadu yang dia tidak pernah dapat bantuan persekolahan ini sedangkan dia orang susah dan tiada pendapatan tetap.

“Jadi kita ambil pendekatan untuk membantu mereka yang layak yang pernah tercicir nama sebelum ini dengan meminta setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mencari ditempat mereka,”ujar Wan Hapandi.

Menurut Wan Hapandi, lima hari tidak termasuk hari cuti diperuntukkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura untuk pembahagian barang barang persekolahan ini bermula 3 hingga 9 Disember ini.


Tag: