• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

‘Pengalaman’ Jadi Senjata TI Properties Tambat Pelanggan

KUALA TERENGGANU, 3 Jun- "Sekiranya anda ingin menjual sesuatu yang berharga tinggi, anda perlu menjual ‘pengalaman’ dan bukannya produk semata-mata," ujar Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties, Awasi Mohamad.

Katanya, beliau percaya testimoni pelanggan adalah alat pemasaran yang berkuasa untuk pemilik perniagaan kerana ia membantu mewujudkan kredibiliti dan kepercayaan dengan bakal pelanggan.

Jelasnya lagi, dengan ulasan dan pengalaman positif daripada pelanggan sedia ada, perniagaan mampu membina reputasi positif, mempengaruhi keputusan pembelian dan membantu meningkatkan jualan.

“’Pengalaman’ yang dimaksudkan adalah pengalaman yang dirasai pengguna apabila menggunakan produk atau perkhidmatan yang syarikat tawarkan.

“Mereka yang mempunyai pendapatan yang tinggi, tidak risaukan wang. Tetapi, mereka ingin membeli pengalaman.

“Sekiranya kita masuk Starbucks & Coffee Bean, kita akan disajikan dengan ‘pengalaman’ atau ‘lifestyle’!. 

“Dan kita orang ramai sanggup bayar pada harga yang tinggi untuk membeli ‘pengalaman’ tersebut jadi kenapa kita tidak laksanakannya di sini contohnya di Jambatan Angkat Kuala Terengganu supaya lebih berdaya saing,” ujar Awasi.

Menurutnya lagi, apabila syarikat memberi tumpuan kepada pengalaman pelanggan, mereka melabur dalam kesetiaan dan kebahagiaan pelanggan untuk kejayaan jangka panjang. 

Justeru, dengan memberikan pelanggan pengalaman yang hebat, pihak syarikat boleh mengekalkan kesetiaan pelanggan dan pengiklanan percuma daripada mulut ke mulut yang menjurus kepada peningkatan  jualan dan mengekalkan lebih ramai pelanggan.

“Bagi saya, pengalaman pelanggan adalah penting untuk kejayaan perniagaan. Apabila anda menguasai khidmat pelanggan syarikat, anda boleh menjadikan jenama anda sebagai pembekal yang dipercayai, walaupun dalam pasaran yang sukar dengan pesaing yang mantap.

“Ia mungkin kelihatan seperti kos tambahan pada masa apabila banyak syarikat mengurangkan belanjawan mereka, tetapi melabur dalam pengalaman pelanggan adalah penting untuk kejayaan jangka panjang.

“Setiap pelanggan mempunyai pengalaman  sama ada ia baik atau buruk yang akan mempengaruhi persepsi mereka terhadap jenama yang ditawarkan. 

“Jika kita mahu pengalaman itu menjadi positif, jadi bina hubungan yang kuat dengan pelanggan anda dan pastikan mereka kembali termasuk menarik pelanggan baharu kepada produk atau perkhidmatan syarikat tawarkan,” jelas beliau.


Tag: