• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Pengangguran Undang Masalah Sosial



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 28 April- Masalah Pengangguran jika tidak diatasi dan dicari jalan penyelesaian terbaik  boleh menyumbang kepada permasalahan sosial.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, perkara itu amat membimbangkan semua pihak termasuk kepimpinan negeri kerana ianya melibatkan masa depan yang sebilangan besarnya terdiri daripada golongan muda.

"Kerana itulah kita menganjurkan Program Kembara Kerjaya yang melibatkan kolaborasi di antara Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi bersama dengan Jabatan Tenaga Kerja.

"Ini merupakan hasil usaha kita dalam memastikan kesejahteraan anak muda Bukit Besi, supaya tiada lagi masalah sosial seperti melepak, pecah rumah dan paling membimbangkan terlibat dengan kancah penyalahgunaan dadah akibat tertekan dengan nasib hidup,"jelasnya.


Beliau berkata demikian ditemui pihak media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Kembara Kerjaya di Dewan Orang Ramai (DORA) Bukit Besi, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Penolong Pengarah Tenaga Kerja, Pejabat Tenaga Kerja Dungun, Hairun Nizam Yahya, Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan, Pejabat Tenaga Kerja Dungun, Noor Akma Shafei.

Hadir sama, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi, Khaziman Khalik dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Cawangan Bukit Besi, Ahmad Bakhir Chik, Abas Abdul Ghani dan Nasharudin Salleh.

Menurut Ghazali, anak muda di kawasan itu didapati tidak berminat untuk bercucuk tanam walaupun pelbagai inisiatif dan galakan disediakan oleh kerajaan negeri.

"Sebahagian besar daripada mereka yang berumur 26 tahun ke bawah lebih berminat dengan kerja dibayar gaji bulanan berbanding dengan bercucuk tanam yang perlu diusahakan terlebih dahulu baru mendapat hasil.

" Walau bagaimanapun di peringkat kita, kita akan usaha agar kesejahteraan modal insan di Bukit Besi ini akan dapat dijelmakan di semua peringkat,"katanya.


Beliau berkata, menerusi program kembara kerjaya itu, majikan turun padang bagi mengadakan temuduga secara terbuka mencari pekerja bagi syarikat dan agensi seperti Sense Services Sdn. Bhd.  yang membuka peluang untuk anak muda terlibat di bidang minyak dan gas dan  Assunta Hospital pula menyediakan peluang kerjaya sebagai jururawat.

Malah katanya, usahawan sate terkemuka, Sate Kajang Haji Samuri juga turut memberi komitmen dalam program itu bagi memberi peluang anak muda mendapat pekerjaan dalam industri makanan.

Tag: