• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pengunjung Teruja Sambutan Raya Buluh Gading

KUALA NERUS, 17 Mei - Lebih 5,000 pengunjung membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading yang rata-ratanya teruja setelah dua tahun sambutan sedemikian tidak dapat diadakan.

Seorang pengunjung yang ditemui, Sha Afzan Che Manan, 34, merasai kemeriahannya walaupun sambutan yang sepatutnya berakhir pada jam 3 petang tetapi 4 petang masih lagi diteruskan dengan pelbagai juadah masih boleh dinikmati.

"Anak-anakpun nampak ceria dengan suasana tempat yang santai setelah dua tahun mereka tidak merasai suasana begini, memang terbaik sambutan kali ini," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Sha Afzan menyatakan demikian ketika ditemui di majlis tersebut yang diadakan bersebelahan Taman Rekreasi Kampung Teluk Pasu di sini baru-baru ini. 

Manakala Norsahana  Sarif, 39, yang datang dari Kemaman seronok melihat kemeriahan sambutan tersebut, walaupun kehadirannya sudah agak lewat tetapi pengunjung masih ramai dan menu utama masih ada untuk dinikmati.

"Dengan tempat yang mudah untuk disinggah dan anak-anakpun selamat untuk bermain, saya berharap tahun depan sambutan sebegini diadakan lagi di tempat ini," ujarnya. 

Sementara itu, penganjur program, Muhammad Saufi Hashim memberitahu majlis yang sepatutnya bermula pada jam 11 pagi tetapi pengunjung telah datang seawal 9.30 pagi. 

"Pukul 1 tengahari, menu-menu hampir kehabisan, jadi kami telah masak lagi untuk dihidangkan kepada pengunjung," katanya.


Tag: