Berita :
Pengurusan Hotel Pulau Poh Digabung, Kerajaan Negeri Percepat Pulihkan Projek Sakit
Pengurusan Hotel Pulau Poh Digabung, Kerajaan Negeri Percepat Pulihkan Projek Sakit
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
66

KUALA TERENGGANU, 22 April – Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif menggabungkan pengurusan Primula Beach Hotel dan Paya Bunga Hotel bagi mempercepatkan pemulihan serta pembukaan operasi hotel milik kerajaan negeri di Pulau Poh, Tasik Kenyir, yang terbengkalai sejak era pentadbiran terdahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris berkata, langkah tersebut diambil sebagai inisiatif mempercepatkan pembukaan hotel berkenaan tanpa perlu terus bergantung kepada operator luar.

Menurut beliau, projek itu ketika ini masih berada dalam tempoh 'Defects Liability Period' (DLP), manakala perancangan awal untuk mengendalikannya di bawah sebuah operator hotel tidak dapat diteruskan selepas syarikat berkenaan menarik diri secara rasmi.

“Projek ini masih dalam tempoh DLP. Sebelum ini, operasi dirancang di bawah sebuah operator hotel, namun pihak tersebut telah menarik diri secara rasmi daripada mengendalikan projek berkenaan dengan alasan mahu memberi fokus kepada perniagaan mereka di Kuala Lumpur.

“Sehubungan itu, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. kini juga sedang mengadakan rundingan dengan beberapa operator baharu yang berminat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Razali berkata, penarikan diri operator terdahulu itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kerugian kepada kerajaan negeri memandangkan hotel terbabit masih belum memulakan operasi.

Katanya, penggabungan pengurusan dua hotel di bawah anak syarikat kerajaan negeri itu merupakan langkah penyelesaian bagi mempercepatkan proses memulihkan projek lama yang tertangguh, sekali gus memastikan hotel di Pulau Poh dapat dibuka dalam masa terdekat.

“Penggabungan dua pengurusan hotel di bawah anak syarikat kerajaan negeri ini adalah inisiatif untuk menyegerakan operasi sekali gus memastikan hotel di Pulau Poh dapat dimulakan dalam masa terdekat,” ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan