• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Pengusaha Kedai Gunting Terengganu Sokong Larangan Kerajaan


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 14 April - Rata-rata pengusaha kedai gunting di Terengganu menyokong tindakan kerajaan melarang premis tersebut daripada beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Pengusaha Ocean Barbershop, Ahmad Shahir  Razali berkata, dia bersetuju dengan keputusan yang dibuat kerajaan itu memandangkan perkhidmatan yang ditawarkan gagal menepati penjarakkan sosial (social distance).

"Saya berpendapat, tindakan kerajaan ini bukan untuk menutup periuk nasi pengusaha kedai gunting tetapi lebih memikirkan soalan keselamatan, kesihatan dan nyawa kami dan pelanggan," ujarnya kepada pemberita.

Ahmad Shahir berkata, rata-rata pelanggannya memahami dan turut  bersetuju dengan langkah yang diambil oleh kerajaan.

"Kita jangan takut soal rezeki insyaAllah rezeki ada di mana-mana, selagi kita masih hidup rezeki pun hidup," ujarnya yang mempunyai tiga cawangan kedai gunting.

Sementara itu, Pemilik East Coast Barbershop, Tun Mohd Fuad Tun Ahmad
 menyifatkan,  sektor perniagaan tersebut ibarat satu 'bom jangka' yang boleh menyebabkan jangkitan semakin parah.

"Kami dari 'Eastcoast' yang juga sebagai rakyat yang bertanggungjawab,  harus memikirkan kesan akibat dari tindakan yang kita ambil dan melupakan soal keuntungan buat seketika sehingga keadaan benar-benar selamat," katanya yang kini beroperasi di Kuala Terengganu.

Tag: