• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Peniaga Sambut Baik Pengumuman SOP 'Lockdown'

KUALA NERUS, 30 Mei – Rata-rata peniaga meluahkan rasa gembira dengan pengumuman prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) petang tadi.

Peniaga nasi bajet, Fadhil Asyraf, 32, bersyukur apabila kerajaan membenarkan sektor makanan seperti kedainya dapat beroperasi walaupun syarat yang ketat.

“Memang rasa lega apabila dibolehkan berniaga seperti biasa walaupun mungkin kehadiran pelanggan berkurang cuma kerana hanya dibenarkan bungkus.

“Tambahan pula kaedah serahan semasa (COD) juga dibenarkan, jadi saya memanfaatkan apa yang dibenarkan walaupaun tak semeriah jual di gerai,” ujarnya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman selepas pengumumam petang tadi.

Bagi peniaga santan, Afiq Jafni Amran, 31, pula berkata keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu sudah dijangka kerana telah tular di media sosial SOP yang dibenarkan sebelum pengumuman lagi tetapi beliau ingin lebih kepastian.

“Dulu PKP pertama memang sektor saya dibenarkan, kawalan pun sangat ketat, alhamdulillah kali ini kerajaan faham denyut nadi rakyat dan membenarkan sektor makanan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, beliau menyambut baik dengan pengumuman tersebut dan berterima kasih kepada kerajaan Perikatan Nasional berikutan banyak rungutan peniaga.

“Saya banyak menerima aduan peniaga terutama peniaga dalam Seberang Takir sendiri yang mahu supaya berbuat sesuatu jika perniagaan tidak dapat dibenarkan.

“Dengan pengumuman MKN petang tadi ternyata melegakan peniaga-peniaga dan saya menasihatkan jagalah SOP yang ditetapkan supaya tidak ada kes seterusnya boleh menyebabkan sektor ekonomi ditutup,” ujarnya lagi.

Petang tadi, kerajaan mengumumkan 17 sektor yang dibenarkan beroperasi termasuk sektor perniagaan makanan.


Tag: