• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Penjawat Awam Perlu Jaga Kerahsiaan Maklumat

KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Penjawat awam di negeri ini dinasihatkan menjaga intergriti dan memelihara kerahsiaan supaya tidak membocorkan maklumat kepada pihak ketiga khususnya melalui aplikasi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, berkata justeru itu, penjawat awam perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak terlalu ghairah berkongsi sebarang maklumat sama ada dokumen atau keputusan yang masih dikategorikan sebagai rahsia dan sulit.

“Kita sebagai penjawat awam bertanggungjawab menguruskan pelbagai dokumen rasmi kerajaan termasuk dokumen-dokumen terperingkat seperti dokumen terhad, sulit, rahsia dan rahsia besar.

“Oleh yang demikian, melalui pelaksanaan program AKKP ini, kita dapat memastikan pengurusan kerahsiaan dokumen tersebut mengikut prosedur yang telah digariskan oleh kerajaan agar tiada kebocoran dan ketirisan maklumat yang akan memberi impak yang besar kepada kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2024, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 20 orang penerima APC Bulanan WDI yang terdiri daripada pelbagai jabatan, bahagian dan unit dalam Wisma Darul Iman akan menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM500.00 berserta sijil penghargaan.

Selain itu, sebanyak 22 jabatan di bawah Pentadbiran Negeri Terengganu yang telah menyertai Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) pada tahun lepas dan Terengganu merupakan negeri yang mempunyai penyertaan yang paling banyak di antara negeri-negeri yang lain turut menerima penghargaan.

Dalam masa sama, Tengku Seri Bijaya Raja juga meraikan pencapaian Pejabat SUK Terengganu di atas kejayaan menerima penarafan lima bintang dalam Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (AKKP) 2023 dan Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting Tahun 2023.


Tag: