• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Penjawat Awam Perlu Utamakan Kesihatan Untuk Tingkat Produktiviti Kerja

Wan Nawawi ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Wisma Darul Iman  (WDI), di Dewan Besar WDI, Kuala Terengganu, pagi ini. Foto Oleh: Zulkifli C.W. Putra

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail menasihatkan semua penjawat awam negeri ini agar memberi keutamaan kepada kesihatan diri supaya dapat meningkatkan produktiviti dalam melaksanakan kerja dan tugas yang diamanahkan.

Katanya, mereka perlu membudayakan gaya hidup sihat antaranya dengan mengamalkan pemakanan seimbang serta membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengelak daripada menghidap pelbagai penyakit.

“Pada November tahun lepas, Menteri Kesihatan Dato’ Dr. S. Subramaniam telah menyatakan bahawa tahap kesihatan rakyat Malaysia amat membimbangkan, justeru penjawat awam perlu melihat kembali tahap kesihatan masing-masing.

“Di Malaysia, ada tiga penyakit yang sering dihidapi masyarakat kita iaitu buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi serta termasuk juga diabetes dan obesiti,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI, Kuala Terengganu, pagi ini.

Katanya, kerajaan negeri turut mengambil beberapa langkah untuk memastikan kakitangan awam berada dalam tahap kecergasan dan kesihatan yang baik.

“Kita telah mulakan dengan semua pemandu dimana mereka ini dibekalkan dengan kad kesihatan agar mereka menjalani pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah, tahap gula dalam air kencing dan kolestrol sebulan sekali.

“Kita juga bercadang untuk memastikan penjawat awam lain melaksanakan pemeriksaan sama khususnya yang berumur 35 tahun ke atas,” ujarnya.


Katanya, penjawat awam sebenarnya cukup beruntung kerana keadaan kesihatan setiap individu diambil cakna oleh pihak jabatan termasuk di peringkat negeri mahupun persekutuan.

“Justeru, saya harap kita lakukan apa yang sepatutnya untuk jaga kesihatan dan bebaskan diri kita dari sebarang penyakit,” ujarnya.



Tag: