• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Penjawat Awam Terengganu Dilatih Kuasai Seni Pidato

KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Penganjuran pertandingan pidato sektor awam Piala Setiausaha Kerajaan Terengganu di Wisma Darul Iman telah berjaya mencapai matlamatnya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan meningkatkan penguasaan seni pidato dalam kalangan penjawat awam negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata tujuan utama pertandingan itu diadakan adalah untuk memupuk rasa bangga dan cinta terhadap bahasa Melayu.

"Manfaatkanlah seni berpidato ini dengan mempamerkan kekuatan penguasaan bahasa yang baik.

"Ini akan membolehkan kita membicarakan idea dengan baik dan menjadi instrumen untuk mencapai cita-cita besar dan impian yang disampaikan kepada masyarakat, bangsa, dan negara," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu 2024 bertempat di Dewan Besar, WDI di sini hari ini.

Tambah Bijaya Raja,  beliau turut menekankan bahawa pidato adalah satu kemahiran yang datang dengan tanggungjawab dan profesionalisme, khususnya dalam amalan pentadbiran serta pengurusan pekerjaan pada masa akan datang.

"Pertandingan ini menyaksikan penyertaan seramai 32 penjawat awam dari pelbagai agensi negeri dan persekutuan seluruh Terengganu.

"Mereka telah melalui peringkat saringan pada 12 Jun yang lalu sebelum layak ke peringkat akhir. Sebelum pertandingan, peserta juga didedahkan dengan Bengkel Seni Berbahasa (Pidato) bagi berkongsi ilmu berkaitan pengucapan awam," katanya.

Beliau berkata tema bagi pertandingan akhir adalah, 'Tadbir Urus Berintegriti, Negeri Diberkati,' dipilih sebagai usaha kerajaan untuk menzahirkan amanah dan tanggungjawab sebagai penjawat awam yang utuh, suci, jujur dan berusaha mengelak sebarang ketirisan yang boleh memudaratkan kehidupan.

Tambahnya, penjawat awam perlu sentiasa menghayati dasar-dasar kerajaan, memahami aspirasi dan ekspektasi pentadbiran, mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan 

"Dengan kejayaan penganjuran ini, penjawat awam Terengganu diharap dapat terus menguasai seni pidato dan menjadikan kemahiran ini sebagai alat untuk mencapai matlamat besar dalam kerjaya mereka dan sumbangan kepada masyarakat," ujarnya.

 


Tag: