lightning-solid
Berita :
Penternak Terengganu Boleh Mohon Bantuan Input Penternakan Mulai 9 Ogos
Penternak Terengganu Boleh Mohon Bantuan Input Penternakan Mulai 9 Ogos
Rohayati Ripin
13 Aug 26
59

KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Penternak kecil dan sederhana di Terengganu berpeluang mendapatkan bantuan menerusi Program Bantuan Input Penternakan Negeri Terengganu Tahun 2026 yang dibuka mulai 9 hingga 23 Ogos ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu berkata, program berkenaan bertujuan membantu penternak meningkatkan pengeluaran hasil ternakan, memperkukuh daya saing serta meningkatkan pendapatan golongan penternak sasaran.

Antara bantuan input yang ditawarkan termasuk inkubator, peralatan pembungkusan dan pelabelan, freezer, Pakej Jom Menternak, field tank, Kit Garam Jilat, Kit Ubatan Ternakan (Ruminan) serta Kit Bantuan Bencana (Ruminan).

"Permohonan terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bermastautin di Terengganu serta berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu dan mempunyai nombor pendaftaran ID premis.

"Pemohon juga perlu merupakan penternak kecil atau sederhana yang sedang menjalankan aktiviti penternakan secara sepenuh masa atau sambilan, selain mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya setahun dalam bidang berkenaan," katanya dalam laman facebook.

Mereka turut diwajibkan mempunyai perumahan ternakan, kawasan dan tempat kurungan bersesuaian dengan saiz serta jenis ternakan yang diusahakan.

Bagi bantuan inkubator, ia disasarkan kepada penternak ayam kampung, itik atau puyuh yang menjalankan aktiviti penetasan serta mempunyai pasaran tetap atau menggunakan hasil untuk keperluan sendiri.

Sementara itu, bantuan pembungkusan dan pelabelan serta freezer disediakan kepada usahawan bimbingan jabatan, premis IAT yang berdaftar, mempunyai premis pemprosesan atau home base dan menjalankan pemprosesan berasaskan produk ternakan.

Bantuan Pakej Jom Menternak pula menyasarkan penternak ayam kampung atau itik penelur yang masih aktif dan mempunyai sumber makanan mencukupi.

Bagi bantuan Field Tank, pemohon perlu pernah menyertai kursus pra pentauliahan Juru Suntik Permanian Beradas yang dikendalikan pihak jabatan.

Kit Garam Jilat dan Kit Ubatan Ternakan pula terbuka kepada penternak ruminan yang mempunyai sekurang-kurangnya lima ekor lembu atau kerbau, atau 10 ekor kambing atau bebiri.

Kit Bantuan Bencana (Ruminan) pula dikhususkan kepada penternak ruminan yang terlibat dalam bencana alam seperti ribut, banjir atau kebakaran.

Borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman sesawang jpvtg.terengganu.gov.my atau diperoleh di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah berhampiran.

Program berkenaan dilihat sebagai antara usaha memperkasa penternak kecil dan sederhana serta memacu perkembangan industri ternakan negeri.



Tag :

Artikel Berkaitan