• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Penting Dan Indahnya Kehidupan Bersyariat

KEMAMAN, 15 September - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat meluahkan harapannya kepada Sukarelawan Syariah Negeri Terengganu agar dapat memberi fokus kepada penting dan indahnya kehidupan bersyariat.

Katanya, di sinilah peranan Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat berhubung tanggungjawab dalam menyalurkan maklumat mengenai kesalahan syariah serta kesediaan masyarakat untuk tampil menjadi saksi dalam sesuatu kes terutama melibatkan kes jenayah syariah.

"Kerajaan sangat mengambil berat kekangan yang dialami oleh pihak penguatkuasa syariah dalam menguatkuasakan perundangan syariah, antaranya kerjasama daripada orang awam yang tidak mahu butiran didedahkan setelah menyalurkan maklumat tentang suatu kesalahan.

"Ia akhirnya boleh menyebabkan siasatan tidak lengkap dan pihak pendakwaan tidak dapat mengendalikan kes dengan baik di mahkamah.

"Menyedari kekangan tersebut, satu langkah telah diambil oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan mewujukan satu pasukan yang dinamakan dengan Sukarelawan Syariah yang telah dilancarkan pada 12 Mac yang lalu," ujarnya ketika berucap di hadapan 125 peserta dalam seminar tersebut di Dewan Darul Iman Terengganu Centre (DITC), Teluk Kalong, semalam.

Dalam perkembangan sama, tambah Hanafiah, tujuan penubuhan Sukarelawan Syariah antara lain adalah untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak penguatkuasa syariah dan bersedia tampil memberi keterangan di mahkamah.

Bagaimanapun, bidang tugas mereka tidaklah sehingga mengambil alih tugas pihak penguatkuasa syariah dalam usaha untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang syariah di dalam negeri ini akan berjalan lebih baik dari sebelumnya.

"Oleh kerana sukarelawan syariah ini akan bekerjasama secara langsung dengan pihak penguatkuasa syariah, mereka ini akan tertakluk sepenuhnya di bawah arahan dan kawalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu ataupun dibawah kuasa Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu agar semua tindakan sukarelawan syariah ini bertepatan dengan peruntukan undang-undang," katanya lagi.


Tag: