• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MARANG, 28 Mei - Bermula berniaga secara kecil-kecilan untuk memenuhi hasrat ayah dan kini mampu tersenyum lega atas kejayaan perniagaan santan dan kerisik diusahakannya sejak lebih 12 tahun yang lalu.

Pengusaha muda, Baharuddin Mad Daud,30, berkata pada mulanya perniagaan ini adalah cetusan idea daripada ayahnya, Mad Daud Mat Zain, 61 tahun, sejak 12 tahun yang lalu.

“Ayah saya melihat, santan pada waktu itu merupakan satu keperluan harian khususnya bagi penduduk Rhu Rendang yang kebanyakannya menjadi pilihan utama dalam masakkan harian.

“Kebanyakkan pelanggan disini memilih santan segar kerana rasa dan aroma baunya yang sedap,” ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Rhu Rendang. 

Dalam pada itu katanya, hasil didikan ayah yang sentiasa memberi nasihat dan tunjuk ajar membuahkan hasil lumayan serta pengalaman sangat mahal sepanjang 12 tahun ini.

“Untuk menghasilkan sehingga 300 kg santan, kita memerlukan hampir 1 tan kelapa. Memandangkan di sini bekalan kelapa agak berkurangan, jadi kita guna kelapa diimport dari Indonesia yang diambil di jeti Batu Pahat, Johor. Saya juga ada bekalkan kelapa biji yang dijual secara per kilo dan kerisik kelapa.

“Syukur, musim Perayaan Aidilfitri pada bulan lepas memberi impak yang sangat positif yang mana jumlah permintaan santan dan kerisik sangat tinggi.  

“Kebiasaannya tahun sebelum ini, bila tiba musim cuti sekolah dan hari perayaan seperti hari raya aidilfitri dan aidiladha, peningkatan  jualan santan hampir 300kg dalam satu hari sehingga tidak cukup tangan untuk menerima tempahan," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, jualan kerisik juga tinggi permintaannya sehingga pelanggan dari Dungun datang membeli kerana aroma baunya menaikkan selera.

Namun jelasnya, proses pembuatan kerisik sangatlah terhad kerana memerlukan masa yang lama dalam 10 jam. 

"Walaupun harga bekalan kelapa sering turun naik, santan yang dijual masih pada harga runcit iaitu RM11 bagi setiap satu kilogram dan harga borong iaitu RM10 bagi setiap satu kilogram," ujarnya.

Katanya lagi, dia sangat berterima kasih kepada FAMA yang banyak membantu saya dalam urusan perniagaan dan sedikit sebanyak dapat melancarkan bekalan stok kelapa ini.


Tag: