• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

'Penuhkan Hujung Minggu Dengan Perkara Berfaedah' - ADUN Bandar

Ahmad Shah ketika menasihati pasangan yang ditahan dalam operasi minggu lalu.
Oleh: Shahril Nizam

KUALA TERENGGANU, 7 Februari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berharap, waktu lapang terutamanya pada hujung minggu digunakan sebaik mungkin oleh golongan belia untuk melakukan perkara-perkara berfaedah.

Beliau turut mengingatkan pelaksanaan penguatkuasaan syariah melalui Operasi Amar Makruf Nahi Mungkar akan terus dilaksanakan untuk membendung golongan muda daripada terlibat dengan gejala sosial.

“Apa yang kita harapkan adalah progam ini bukan sahaja sebagai satu pendekatan, nasihat kepada kumpulan ataupun pasangan yang terlibat dengan masalah sosial, tetapi juga kepada semua pasangan remaja di negeri Terengganu khususnya.

“Apabila keluar ke tempat-tempat awam bersama dengan pasangan yang bukan mahram, bukan pasangan kahwinnya, mereka perlu mematuhi hukum hakam yang telah ditentukan oleh agama,” katanya.

Ahmad turut mengedarkan risalah tentang gejala sosial kepada pengunjung di Pantai Batu Buruk.
Menurutnya, operasi yang diadakan di Dataran Batu Buruk minggu lalu memperlihatkan beberapa pasangan telah ditahan kerana melanggar batasan dari sudut etika dan hukum syariat.

Jelasnya, program kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu (IPDKT), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Lajnah Dakwah PAS Kuala Terengganu itu menjadi medan dakwah yang praktikal untuk mencegah gejala itu.

Kata Ahmad Shah lagi, masalah yang menular di kalangan majoriti remaja pada masa kini berlaku kerana mereka (remaja) memang tidak memahami hukum syariat Allah SWT.

"Mungkin juga dari segi pengawasan ibu bapa, mereka tidak melihat perkara ini sebagai suatu yang boleh mendatangkan mudarat yang lebih besar.

“Jadi, pada mereka ini perkara biasa. Dalam masa yang sama juga masyarakat kita kurang mengambil berat berhubung dengan pergaulan bebas yang boleh melanggar batas-batas syariat agama.

Ahmad Shah, Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Azmi Tengah (berkemeja-T) dan Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Fauzi Yusuf (berjubah hitam) menasihati pasangan yang ditahan.
Beliau menyatakan, kerjasama daripada semua pihak amat penting dalam menangani masalah gejala sosial yang berlaku di kalangan belia.

“Kita harap keluarga dan ibu bapa mengambil berat tentang anak-anak mereka, ke mana mereka keluar pada waktu malam dan dengan siapa mereka keluar.

“Masyarakat juga hendaklah memberi kerjasama dan berperanan, jangan melihat sahaja mereka berdua-duaan. Sebaliknya, turut mencari jalan untuk memberi nasihat,” nasihatnya.

Tambahnya, jika sukar melakukannya, maklumkan perkara tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Insya-Allah, kalau tidak boleh 100 peratus pun, sekurang-kurangnya kita boleh mengurangkan gejala-gejala yang tidak sihat seperti ini,” katanya.


Tag: