• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Perangkap Khas Beruang Dipasang

Oleh: Amiirullah Mansor

DUNGUN, 11 Ogos - Jabatan Perhilitan Dungun telah memasang perangkap khas beruang di kawasan rumah pengusaha madu kelulut selepas mendapat aduan daripada pemiliknya berkenaan kehadiran beruang di kawasan terbabit. 

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pinang Merah, Che Wan Mustaffa Che Wan Kaman berkata, aduan daripada pengusaha terbabit diterima pihaknya dua minggu lalu sebelum dilaporkan kepada pihak Perhilitan.

"Beruang ini memusnahkan sarang madu kelulut mereka. Ada yang memakan umbuk serta merosakan pokok kelapa," katanya.

Menurutnya, hasil tindakan semalam, Perhilitan telah memasang perangkap yang diambil dari Serdang di beberapa buah kawasan yang menjadi laluan masuk beruang tersebut.

"Kekangan yang dihadapi sekarang ini ialah perangkap yang dipasang tidak banyak dan  kawasan jagaan luas," ujarnya. 

Beliau menasihatkan agar masyarakat sentiasa berwaspada apabila melakukan aktiviti luar serta melaporkan kepada pihak berkuasa jika ternampak kelibat haiwan terbabit.

"Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin bagi menyelesaikan perkara ini dan diharapkan agar sentiasa berhati-hati. 

"Harapan saya agar beruang ini dapat ditangkap dan masalah yang merisaukan penduduk kampung diselesaikan dengan baik," katanya.
 


Tag: