• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Perantau Lembah Klang, Pahang Meriahkan Bola Sepak Piala MB

KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Pesta Bola Perantau Anak Terengganu Piala Menteri Besar mendapat sambutan menggalakkan dengan penglibatan 20 buah pasukan di EV Arena, Shah Alam, di sini baru-baru ini.

Acara tahunan tersebut kembali diadakan selepas terhenti ekoran pandemik Covid-19 dengan dua kategori yang dipertandingkan iaitu Terbuka 9 sebelah dan Semi Veteran 7 sebelah. 

Presiden Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Dr Nuri Al Amin Endut berkata anjuran demikian turut disertai perantau dari Pahang dan Negeri Sembilan selain dari sekitar Lembah Klang.

“Program sebegini lebih berfokus kepada jalinan silaturahim antara perantau yang berada di luar negeri Terengganu selain komitmen PERANTAU menjaga kebajikan para perantau.

“Kita ingin perantau Terengganu tahu bahawa Kerajaan Negeri cakna terhadap rakyat walaupun berada di luar negeri,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Beliau turut berkata, PERANTAU sebagai sebuah NGO menjadi penghubung antara perantau dan pihak Kerajaan Negeri.

“Sebelum ini, kita telah gerakkan aktiviti kebajikan dalam menghadapi musibah banjir dan juga bekerjasama dalam urusan i-Perantau.

“Insya-Allah kita sedang merancang untuk mengadakan Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (KTMBS) peringkat PERANTAU,” tambahnya.

Program tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang mewakili Menteri Besar dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.

 


Tag: