• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Perantau Terengganu Serah Memo Tuntut Royalti

KUALA LUMPUR, 25 Mac - Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Terengganu hari ini sebagai gesaan supaya Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terus menuntut bayaran royalti (wang ihsan) daripada Kerajaan Persekutuan.

Memorandum yang memperincikan alasan royalti patut dibayar kepada rakyat Terengganu itu turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengotakan janjinya berkait pemberian wang royalti petroleum dan gas.

Presiden PERANTAU, Dr Mohd Nuri Al Amin Endut berkata, sudah cukup jika lima peratus wang royalti itu diserahkan kepada kerajaan Terengganu seperti biasa, tidak perlu 20 peratus sebagaimana dijanjikan sebelum ini.

"Tak perlu 20 peratus, lima peratus sudah cukup untuk membolehkan kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan i-Perantau kepada anak-anak PERANTAU seperti sebelum ini," katanya di Majlis Penyerahan Memorandum Tuntutan Royalti Terengganu kepada Ahli Parlimen Kemaman, di pekarangan bangunan parlimen di sini hari ini.

Dr Mohd Nuri berkata, sebelum ini PERANTAU telah mengatur  pelbagai program di seluruh negara dengan sokongan dan bantuan i-Perantau dari Kerajaan Terengganu tanpa sebarangan halangan.

Tetapi katanya, usaha itu terhalang akibat  Kerajaan Pusat menghentikan pemberian wang royalti itu kepada Kerajaan Terengganu.

Untuk rekod, Anwar ketika berucap di Kelantan tidak lama dahulu menjanjikan royalti 20 peratus kepada Terengganu dan Kelantan sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri.

Walau bagaimana pun berlaku sebaliknya ketika Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10 (PM10) hari ini.

Tahun lalu Terengganu hanya menerima sebahagian wang royalti dari Kerajaan Persekutuan manakala sebahagian lagi kerajaan masih berhutang dengan kerajaan Terengganu.

 


Tag: