• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Perantau Terengganu Terima Bayaran Pertama i-Perantau

KUALA LUMPUR, 15 Mei- Seramai 650 rakyat Terengganu di perantauan menerima sumbangan kerajaan negeri melalui agihan dana i-Perantau dalam Majlis Sambutan Hari Raya Anak Terengganu di Perantauan, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat menzahirkan rasa syukur dan berpuas hati dengan pembayaran pertama yang dilaksanakan.

Jelasnya, jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan 2,500 perantau yang layak menerima i-Perantau dalam jumlah RM1.5 juta yang diperuntukkan kerajaan. 

“Saya sangat berpuas hati dan ramai diantara mereka menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri kerana ingat kepada perantau. 

“Hakikatnya, selama ini pun idea dan lontaran pemikiran daripada anak-anak rantau ini memang ada kita terima dan laksanakan dalam proses pembangunan dan pentadbiran negeri kita.

“Hari ini, i-perantau juga merupakan idea sebahagian anak rantau yang melihat perkembangan negeri Terengganu selama empat tahun ini, apa yang boleh kita buat kita akan buat,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan yang berlangsung di MAEPS Serdang, hari ini.

Dalam majlis tersebut, gimik penyampaian i-Perantau dirasmikan sendiri Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang hadir meluangkan masa merakam kenangan bersama pengunjung selain meraikan kanak-kanak yang hadir dengan sumbangan duit raya.

Hadir sama, Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman.

Turut hadir, sebahagian ahli-ahli parlimen Terengganu dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri meraikan sekitar 6,000 anak-anak Terengganu yang berkunjung ke majlis itu.

Menurut Hanafiah, kerajaan negeri telah bersetuju menyampaikan dana tunai i-fitri dan i-perantau yang terhenti berikutan pandemik Covid-19 setelah mengambil kira keperluan lebih besar.

“Sebelum ini, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan beratus juta ringgit untuk menangani kesan pandemik, membantu membasmi dan memutuskan rantaian Covid-19 selain memastikan kesan minimum pandemik kepada rakyat.

“Sehinggakan sambutan raya secara bersemuka  juga tidak dapat diadakan dan kerana ini, kerajaan memutuskan tiada dana raya sepanjang dua tahun lepas,” katanya.

Selain itu, Hanafiah memaklumkan pembayaran seterusnya akan diadakan di Johor Bharu pada hujung Mei ini.

Tambahnya, kerajaan negeri juga sekali lagi akan melakukan pembayaran pencen warga emas sebanyak RM600 kepada penerima yang layak pada penghujung Julai ini.

“Sesungguhnya kekayaan yang yang diperolehi akan kita kumpulkan dan akhirnya kita akan sumbangkan kepada kerajaan negeri Terengganu untuk disalurkan kepada rakyat. 

“Bagi portfolio saya, sebanyak RM100 juta dibelanjakan pada tahun ini melalui pelbagai aktiviti dan saluran agihan.

“Jadi, kami (kerajaan negeri) amat berharap kepada semua perantau yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam pilihan raya lalu bersiap siaga menghadapi pilihan raya ke-15 dan memberi peluang pimpinan PAS terus mentadbir negeri Terengganu.

“Dalam empat tahun ini, semua perantau telah melihat apa yang telah dibangunkan oleh pentadbiran kerajaan negeri dan kita berharap kepemimpinan ini dikekalkan untuk kita terus membina kemajuan yang dirancang dan sedang dilaksanakan,” katanya.