• 26 Jul 2024 | 19 Muharam 1446

Perhimpunan Terbesar di Padang Arafah, Lambang Kekuatan Umat Islam

KUALA TERENGGANU, 16 Jun – Kerajaan negeri menyeru umat Islam untuk merebut peluang keampunan yang terbuka luas pada Hari Arafah, sambil menegaskan bahawa perhimpunan besar umat Islam di Padang Arafah adalah lambang kekuatan umat Islam di seluruh dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Hari Arafah juga mengingatkan manusia tentang perhimpunan besar pada hari kiamat, di mana semua manusia akan dikumpulkan di hadapan Allah untuk dihisab.

“Perhimpunan di padang Arafah adalah gambaran kecil dari perhimpunan besar itu. Marilah kita muhasabah diri dan memperbanyakkan amal soleh agar kita termasuk dalam golongan yang berjaya di akhirat kelak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Masjid Sultanah Nur Zahirah, pada Khamis.

Tambah Dr Khalil, Hari Arafah adalah peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan. 

“Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, ‘Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah’.

“Hadis riwayat Muslim ini menunjukkan betapa besarnya rahmat dan kasih sayang Allah pada hari Arafah. Pada hari tersebut, Allah membuka pintu-pintu keampunan seluas-luasnya,” katanya.

Dr Khalil juga menyentuh mengenai ibadat wukuf di padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun haji, di mana para jemaah haji berkumpul untuk berdoa, berzikir, dan memohon keampunan daripada Allah. 

“Walaupun tidak semua dapat bersama-sama dengan jemaah haji di sana, umat Islam masih dapat mengambil iktibar dan melaksanakan ibadat sunnah sempena Hari Arafah.

“Saya menyeru kepada semua kaum Muslimin dan Muslimat di Negeri Terengganu untuk turut sama-sama berpuasa pada 9 Zulhijjah ini, yang merupakan hari wukuf di Arafah," ujarnya.

Beliau berkata, Sabda Nabi SAW, puasa pada hari tersebut, iaitu Hari Arafah, akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. 

Dr Khalil turut mengucapkan terima kasih kepada barisan penganjur dan seluruh jemaah yang hadir memenuhi masjid pada malam tersebut untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Arafah.

 

 

 

 

 


Tag: