• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Perjuangan Didik Masyarakat Hayati Ramadan

KUALA NERUS, 25 Mac - Madinah Ramadan bertemakan bulan perjuangan dan jihad pada kali ini merupakan usaha kerajaan negeri mendidik masyarakat agar beriltizam mengamalkan ajaran Islam secara syumul.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perjuangan dan jihad sangat sinonim dengan bulan ini kerana ia mengandungi hikmah dan banyak peristiwa besar berlaku.

"Seperti Perang Badar Al-Qubra, pembukaan bumi Sepanyol dan pembukaan Balkan di kerajaaan uthmaniyyah, terdapat juga kemenangan tentera Islam Mesir ke atas zionis Israel pada tahun 1973, dan juga pembukaan satu Bukit Banjaluka di Bosnia oleh Umat Islam daripada tangan Serbia.

"Tujuan kita mengetengahkan slogan ini yang pertamanya kita mahu membangkitkan semangat juang dan jihad dalam diri rakyat Terengganu khususnya apabila kita sedang menyaksikan bagaimana jihad saudara kita di bumi Palestin, di Gaza," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Madinah Ramadan.

Mengulas lebih lanjut, Muhammad Khalil berkata berada di lokasi yang jauh bukan menjadi halangan untuk menyemaikan semangat dalam diri bagi sentiasa bersama dengan pejuang Islam di Palestin.

"Walaupun kita berada jauh tetapi kita adalah satu umat, perjuangan mereka adalah perjuangan kita, kesusahan mereka adalah kesusahan kita bersama.

"Kita mahu menegaskan di sini bahawa walaupun kita berada jauh dengan saudara kita di sana tetapi niat jihad di dalam diri kita bersama-sama dengan mereka," ujarnya.

Tegasnya Ramadan adalah bulan kemenangan kepada Islam di mana ia telah dibuktikan melalui kemenangan yang dicapai oleh generasi awal Islam.

"slogan ini ataupun tema ini juga diangkat bagi menangkis serangan dan tohmahan musuh Islam yang melabel Islam sebagai agama ganas khususnya apabila dikaitkan dengan jihad dan perjuangan.

"Mereka begitu takut dengan perkataan jihad sehingga mereka tekan umat Islam jangan belajar ayat al-Quran tentang jihad, jangan belajar sejarah Islam tentang jihad.

"Sedangkan Islam mewajibkan kepada umatnya untuk berjihad, ia merupakan satu amalan yang sangat mulia konsepnya sangat luas bukan sahaja mengangkat senjata tetapi perjuangan untuk  menegakkan agama Allah dengan pelbagai cara melalui kata-kata, penulisan, harta benda, sokongan moral dan lain-lain," ujarnya.

 


Tag: