• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Perlawanan Gasing Tradisional Cungkil Bakat Cilik


Oleh: Aminji

KEMAMAN, 22 September - Perlawanan Gasing Tradisional di Kampung Seberang Tayor diadakan bertujuan untuk mencungkil bakat kanak-kanak sekali gus menarik minat generasi muda dalam permainan tradisional bagi memastikan warisan nenek moyang itu tidak lapuk ditelan zaman.

Pengerusi Kelab Peminat Gasing Kampung Seberang Tayor, Idris Salleh berkata, perlawanan gasing tradisional itu melibatkan kategori kanak-kanak bawah 12 tahun dan dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2019.

"Semoga perlawanan gasing tradisional ini dapat diadakan setiap tahun dan mendapat perhatian pihak berkaitan khususnya YB (Yang Berhormat) Cikgu Ab Razak Ibrahim bagi mempromosikan permainan ini di dalam kalendar pelancongan negeri Terengganu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada kejohanan berkenaan di Padang Futsal Seberang Tayor, di sini baru-baru ini.

Majlis anjuran bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Tayor itu mendapat sambutan dan penyertaan yang menggalakkan. Setiap kumpulan diwakili oleh 3 orang peserta dengan menyaksikan 9 pasukan berentap untuk menjuarai pertandingan.

Sementara itu, beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada penduduk kampung khususnya kerana berjaya menghidupkan kembali nostalgia permainan gasing tersebut.

Tag: