• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Perlis Tawar Biasiswa Kepada Anak Terengganu Belajar di KUIPs

KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Kerajaan Negeri Perlis menawarkan biasiswa kepada lima anak Terengganu untuk menyambung pengajian di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Exco Hal Ehwal Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan, Industri Halal dan Penerangan Perlis, Muhammad Azmir Azizan berkata, tawaran tajaan penuh kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia itu telah diperkenankan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis (Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail).

“Jumlah tajaan sepanjang pengajian samada di peringkat diploma ataupun ijazah adalah sebanyak RM34,000 untuk setiap pelajar.

“Di samping itu, mereka turut diberikan elaun sara hidup pelajar sebanyak RM300 setiap bulan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada pertemuan beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kriteria pemilihan pelajar akan diuruskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).