• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Permai Hotel Bantu Mangsa Banjir

KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Seramai 20 sukarelawan terdiri dari warga kerja Permai Hotel Kuala Terengganu turun padang menyampaikan bantuan kepada komuniti yang terjejas banjir melalui program tanggungjawab sosial korporatnya bertempat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah kebangsaan (SK) Kampung Gemuroh dan SK Bukit Guntong serta penduduk sekitar.

Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata, inisiatif tersebut bukan hanya menjadi satu tanggungjawab sosial korporat hotel untuk meringankan beban mangsa banjir, tetapi ia juga merupakan konsep yang diterapkan oleh Permai Hotel sejak azali iaitu mencari keberkatan dengan menjadikan kerja bakti, kebajikan dan sedekah sebagai nilai teras dalam setiap urusniaga yang dijalankan.

“Saya percaya bahawa usaha dalam mencari keberkatan di dalam perniagaan bermula dengan bersedekah.

“Program ini dilakukan setiap tahun bagi menerapkan sifat empati dan menzahirkan semangat kemanusian dalam kalangan warga kerja Permai Hotel untuk membantu insan-insan yang ditimpa musibah tanpa mengira kaum, jantina dan status," ujarnya dalam satu kenyataan.

Noralizan berkata, lebih dari 400 pek makanan yang dimasak dan disediakan secara gotong royong oleh warga kerja hotel diedarkan terus kepada komuniti yang terjejas menerusi misi tersebut.

“Sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi Permai Hotel, Ustaz Hishamuddin Abd Karim yang juga turut meluangkan masa bagi menyantuni mangsa-mangsa yang ditempatkan di PPS. 

“Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir dan sebagai tanda solidariti bersama mangsa banjir yang diuji kehilangan tempat tinggal dan harta benda,” ujarnya.

Difahamkan, hujan lebat berterusan sejak awal Isnin minggu lalu telah mengakibatkan penduduk di beberapa kawasan DUN Tepoh cemas apabila kediaman mereka mula ditenggelami air sehingga tiga meter.