• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Permintaan Lepasan IKBN Terengganu Seperti 'Goreng Pisang'

Marang, 25 November – Kadar kebolehpasaran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Terengganu diibaratkan seperti pisang goreng dengan peningkatan peratusan sehingga 90 peratus dan permintaan pasaran yang masih luas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Laporan Pencapaian KPI Utama Kementerian Belia dan Sukan menunjukkan kadar kebolehpasaran Graduan ILKBS telah meningkat daripada 80% pada tahun 2013 kepada 90.94% pada tahun 2020 dengan gaji purata RM1,711 sebulan.

“Kebanyakkan lepasan graduan telah ‘dicop’ atau ditempah daripada pemain industry yang memerlukan kepakaran mereka dalam pelbagai bidang kemahiran.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada IKBN Wakaf Tapai di atas penganjuran majlis ini bagi meraikan kejayaan para graduan, para pendidik serta pengorbanan ibu bapa yang telah membentuk insan intelek masa depan yang murni sahsiahnya.

“Diharapkan IKBN Wakaf Tapai terus melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi yang dapat memberi sumbangan kembali kepada keluarga, kerajaan Negeri Terengganu dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Graduan IKBN Wakaf Tapai 2020/2021, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah IKBN Wakaf Tapai, Zaini Abd Aziz berkongsi, antara pemain industri yang sering berhubung dengan pihaknya bagi mendapatkan kepakaran pelajarnya seperti industri minyak dan gas di Paka (bidang kimpalan) serta kedai jahitan sekitar Kuala Terengganu.

“Ini kerana mereka mempunyai skil yang diperlukan pasaran seperti Noor Arfa Batek dan jahitan t-shirt. Walaupun lepasan kita tidak ramai, namun permintaan industry sentiasa luas,” jelasnya.

Menurut penganjur, seramai 273 orang graduan telah tamat latihan 2020/2021 iaitu seramai 176 orang bagi lepasan tamat latihan sesi 2020 dan 97 orang bagi lepasan tamat latihan sesi 2021, dengan 100 orang hadir pada majlis penyampaian hari ini.