• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Permohonan Bantuan OKU, Ibu Tunggal Dibuka

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan negeri sudah membuka permohonan bantuan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal bermula semalam, 24 Ogos sehingga 3 September 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata bantuan sekali bayar sebanyak RM150 kepada setiap OKU dan ibu tunggal itu selaras dengan bajet 2022 Terengganu,   

Katanya, mereka yang layak boleh hubungi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau pusat khidmat masyarakat di DUN masing-masing.

“Pihak urus setia kami telah bercadang untuk memberitahu kepada orang ramai yang terlibat dan yang layak dengan bantuan tersebut melalui hebahan secara atas talian.

"Antara syarat-syarat bantuan bagi OKU ialah mereka hendaklah berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta yang berumur 18 tahun ke atas dan bukan daripada kakitangan kerajaan," jelasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media berhubung i-bantuan untuk OKU, Ibu Tunggal Dan Pencen Rakyat di Bilik Mesyuarat MMKN, Wisma Darul Iman semalam.

Tambah Hanafiah, bagi bantuan ibu tunggal pula adalah terbuka kepada semua wanita yang berstatus ibu tunggal dan bukan penerima i-Fitri.

“Isi rumah penerima hendaklah di bawah RM2,500 sebulan dan mereka yang berada dalam penjawat awam tidak layak untuk memohon," ujarnya.

Sementara itu, syarat utama i-bantuan bagi kedua-dua bantuan tersebut adalah pemohon hendaklah rakyat negeri Terengganu yang menetap dan pengundi berdaftar di dalam negeri ini.

“Pemohon juga bukan mereka yang menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan seumpamanya.

“Maklumat pemohon juga mestilah telah ada dalam sistem Profil Rakyat Terengganu (PRT20),” katanya.

 

 


Tag: