• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu Bermula 22 April Ini

KUALA TERENGGANU, 14 April- Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) akan meneruskan Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022 mulai 22 hingga 26 April depan.

Bagi mengembalikan nostalgia tradisi  memasang pelita pada malam tujuh likur, program yang berlangsung selama lima hari bertemakan 'Pelita Raya Beautiful Terengganu’ itu akan diadakan di Kampung Budaya Terengganu (KBT), Kompleks Muzium Negeri Terengganu.

Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria berkata, pertandingan kali ini, membabitkan  penyertaan lapan daerah dari seluruh negeri Terengganu di mana mereka perlu menghiasi monumen seperti rumah-rumah tradisi, perahu besar dan Istana Tengku Long yang terdapat di KBT.

Katanya, Pejabat Daerah Dungun perlu menghias Perahu Besar dan galeri pelayaran, Pejabat Daerah Kemaman (Rumah Nelayan), Pejabat Daerah Besut (Rumah Bujang Serambi Selasar) dan Pejabat Daerah Setiu pula Rumah Bujang Berkembar.

“Manakala Pejabat Daerah Hulu Terengganu ditetapkan untuk mencantikkan Rumah Limas Belanda, Pejabat Daerah Kuala Terengganu (Rumah Tele), Pejabat Daerah Marang (Istana Tengku Long) dan Pejabat Daerah Kuala Nerus pula akan menghias Laman Warisan.

“Hasil rekaan sebaik-baiknya menggunakan barangan terpakai dan disyaratkan perlu menggunakan sekurang-kurangnya 100 pelita sumbu. Penambahan replika di kawasan yang ditetapkan adalah satu bonus,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Fadli berkata, pihaknya menetapkan  penglibatan semua pejabat daerah berikutan pihak itu merupakan keluarga angkat kepada rumah-rumah tradisi KBT.

“KBT akan beroperasi seperti biasa pada waktu siang, dan akan dilanjutkan waktu pengoperasian pada sebelah malam iaitu dari pukul 9 malam hingga 11:30 malam. 

"Aktiviti sampingan turut dianjurkan antaranya demontrasi dan jualan produk kering serta makanan moreh tradisional di rumah-rumah dan platform yang disediakan,” katanya.

Menurut beliau, apa yang dianjurkan itu pastinya bukan sahaja dapat mengembalikan nostalgia malam tujuh likur yang lazimnya diamalkan penduduk dahulu kala, malah dapat mempromosikan KBT kepada masyarakat luar, terutama pelancong asing.

“Penganjuran program tersebut juga pada masa sama mampu memupuk semangat cintakan tradisi Melayu dan mengimarahkan hubungan silaturahim antara pejabat daearah dan pengunjung, malah turut dapat menonjolkan elemen pelancongan budaya yang turut sinonim dengan negeri Terengganu.