• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pertubuhan Berdaftar Diingatkan Agar Tidak Langgar Akta Pertubuhan 1966

Ahmad Zahid ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Pertubuhan Kebangsaan 2017 di Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail

 Pertubuhan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) diingatkan agar tidak melanggar undang-undang Akta Pertubuhan 1966.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pertubuhan yang berdaftar perlu sentiasa menyerah serta menghantar penyata tahunan dan penyata kewangan pertubuhan bagi mengelakkan pertubuhan yang telah didaftar tidak terbatal.

“Pada ketika ini terdapat kira-kira 63,846 pertubuhan yang berdaftar dengan ROS. Dan selepas disemak daripada jumlah itu kira-kira 44 peratus pertubuhan yang didaftarkan sebelum ini terpaksa dibatalkan.

“Antara faktor yang menyumbang kepada pembatalan itu dilakukan disebabkan tidak menghantar penyata tahunan dan penyata kewangan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival Pertubuhan Kebangsaan 2017 di Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, Dato' Jailani Johari; Yang Dipertuan Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha kerajaan Negeri, Dato’ wan Nawawi Wan Ismail serta Ketua Pengarah Jabatan Perdaftaran Pertubuhan Malaysia, Dato’ Mohammad Razin Abdullah.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menggalakkan pertubuhan-pertubuhan yang mempunyai hala tuju dan matlamat yang sama supaya bergabung dibawah satu pertubuhan.

“Persatuan-persatuan yang didaftarkan dengan pelbagai nama tetapi mempunyai hampir sama aktivitinya digalak agar bergabung untuk mudah kita bantu,” ujarnya.


Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memberitahu semua pertubuhan permotoran sama ada motorsikal berkuasa tinggi, kapchai, dan lain-lain telah dimansuhkan di dalam satu pertubuhan yang dikenali sebagai Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPPM) di mana ahlinya terdiri daripada 2 juta ahli.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemimpin persatuan permotoran yang pelbagai di seluruh negara dibawah GPPM dimana pergabungan ini banyak memberi manfaat kepada ahli dan ini merupakan antara persatuan terbesar di negara dan perlu dicontohi,” ujarnya.

Tag: