• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Peruntuk RM70 Ribu Bakar Semangat Pelajar STPM

KEMAMAN, 24 Januari – Kerajaan negeri memperuntukkan dana sebanyak RM70,000 kepada 140 pelajar yang akan menduduki Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) Yayasan Terengganu Tahun 2023 bagi Daerah Dungun dan Kemaman.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Ahmad Shah Muhamed berkata, setiap pelajar akan menerima insentif pendidikan sebanyak RM500 bagi membakar semangat dengan matlamat momentum kecemerlangan dapat diteruskan.

Katanya, kesemua pelajar tersebut melibatkan 10 buah sekolah menengah dalam dua daerah berkenaan.

“Setinggi-tinggi perhargaan diucapkan khususnya Yayasan Terengganu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu serta seluruh komuniti pendidik di atas kejayaan Negeri Terengganu mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.04 peratus.

“Pencapaian tersebut telah mengatasi PNGK Nasional iaitu 2.82 peratus pada keputusan STPM Tahun 2022, sekaligus dinobatkan STPM Terbaik Kebangsaan buat empat tahun berturut-turut bermula dari Tahun 2019,” jelasnya.

Beliau berkata demikian Ketika Majlis Penyampaian Bantuan STPM Yayasan Terengganu 2023 bertempat di Dewan Haayati Ilmi SM Imtiaz Yayasan Terengganu, Kemaman di sini hari ini. 

Tambah Ahmad Shah, kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu sentiasa memberikan tumpuan sepenuhnya berkenaan kesejahteraan serta pembangunan pendidikan rakyat negeri ini.

“Bermula dari peringkat rendah sehinggalah ke peringkat tertiari yang mana telah banyak bukti kejayaan cemerlang dihasilkan saban tahun.

“Semoga Yayasan Terengganu terus mengekalkan budaya organisasi berprestasi tinggi usaha menghasilkan modal insan yang berkualiti demi kemampanan serta kelestarian pembangunan negeri memacu hasrat kerajaan negeri dalam merealisasikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya.

Beliau berharap, bantuan bernilai RM500 yang diperolehi dapat digunakan sebaik mungkin oleh para pelajar bagi membantu meningkatkan mutu pembelajaran.

"Oleh itu, kepada semua pelajar yang berada di hadapan saya ini, teruskanlah menuntut ilmu sehingga ke tahap yang termampu tanpa mengenal putus asa," jelasnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: