• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Peruntukan RM1 Juta Untuk Sutera 2019



KUALA TERENGGANU, 22 Januari- Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk program Sukan Terengganu (Sutera) 2019 sebagai usaha menggalakkan golongan belia khususnya membudayakan aktiviti bersukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan NGO Negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penganjuran Sutera akan diadakan secara dwi tahunan berselang seli dengan Sukan Malaysia (Sukma).

Katanya, antara matlamat penganjuran Sutera adalah untuk membina sahsiah dan akhlak belia itu sendiri.

“Sebelum perlaksanaan Sutera 2019 yang dijangka akan diadakan September ini, kita adakan  kejohanan-kejohanan atau pertandingan sukan bermula di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Dewan Undangan Negeri (DUN), daerah kemudian peringkat negeri.

“Sebagai contoh, di peringkat kampung mereka adakan pertandingan bola, hoki, sepak takraw, badminton, pingpong dan sebagainya dan apabila selesai perlaksanaan di peringkat MPKK, mereka yang berjaya akan bertanding di peringkat DUN.

“Juara di peringkat DUN kelak akan bertanding di peringkat daerah dan yang berjaya barulah akan mewakili daerah ke peringkat negeri,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika bersiaran di TV Darul Iman menerusi rancangan 'Kabbo Royak' di Pejabat Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Katanya, dengan adanya penganjuran Sutera ini diharap dapat menggalakkan golongan belia terlibat dengan perkara berfaedah dan dapat menghalang mereka dari terjebak dengan aktiviti yang kurang sihat.

Tag: