• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Peruntukan RM12 Juta, Pencen Rakyat 2022 Boleh Dimohon Hari ini

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Kerajaan negeri memperuntukkan RM12 juta bagi bantuan pencen rakyat yang memanfaatkan anggaran lebih 23 ribu penerima.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pemberian pencen rakyat yang kembali diteruskan itu akan dibuka bermula 24 Ogos (hari ini) hingga 3 September 2022. 

Katanya, individu yang layak boleh memohon melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Pembangunan Kampung (JPKK) atau Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Pada tahun lepas, seramai lebih 20,000 orang yang menerima manfaat daripada pencen rakyat serta mendapat maklum balas yang baik daripada semua pihak.

"Kita akan kekalkan nama-nama mereka yang sedia ada kecuali mereka yang telah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan seumpamanya," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung i-bantuan untuk OKU, ibu tunggal dan pencen rakyat di Tingkat 5, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tambah Hanafiah, pemohon hendaklah berumur 60 tahun ke atas serta bukan pesara kerajaan dan pendapatan isi rumah juga hendaklah di bawah RM2,500 sebulan.

"Pemohon juga hendaklah rakyat yang menetap di negeri Terengganu dan pengundi berdaftar di dalam negeri ini," katanya.

 


Tag: