• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Peruntukan Tabung Bencana Pertanian Terengganu Naik 100 Peratus

KUALA NERUS, 6 Februari – Kerajaan Negeri menaikkan peruntukan Tabung Bencana Pertanian (TBP) yang diperkenalkan sejak 2020 sebanyak sekali ganda.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata dana TBP pada  2024 ditambah sebanyak RM1 juta kepada RM2 juta berbanding pada tahun 2023.

Katanya, fokus TBP adalah berkaitan projek agromakanan dalam Dasar Agromakanan Negara serta Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu.

"Ia meliputi tanaman padi, sayur-sayuran dan buah-buahan, ternakan, ternakan akuakultur, nelayan dan industri asas tani (IAT).

“Di samping, kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang menceburi bidang pertanian, penternakan dan perikanan di Negeri Terengganu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Amanat 2024 bertempat di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Kuala Nerus di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Hilmi Harun, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh

Tambah Dr Azman, sepanjang tahun 2023, pembangunan padi di dalam jelapang di Terengganu mencapai keluasan sebanyak 4,541 hektar berbanding dengan 6,675 hektar di luar jelapang. 

“Bagi keluasan ladang MyGap di dalam jelapang seluas 415.21 hektar dengan bilangan ladang sebanyak 437 ladang melibatkan 383 orang petani. 

“Ia lebih tinggi berbanding luar jelapang hanya 328 hektar dengan bilangan ladang sebanyak 314 ladang melibatkan 299 orang petani,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: