• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pesara Jururawat Terus Berbakti Untuk Masyarakat

KUALA TERENGGANU, 24 September – Seorang pesara jururawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Fatimah Musa, 66,  mengambil inisiatif mengadakan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma di Masjid Sultan Ismail Chendering bagi membantu masyarakat.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut telah mula dilaksanakan sejak tahun 2014 dengan bantuan pihak Masjid Sultan Ismail Chendering yang menyediakan tempat dan beberapa peralatan.

“Di sini, kita sediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan asas seperti tekanan darah, pemeriksaan BMI dan tekanan gula dalam darah. Ini mendapat sambutan menggalakkan dari kalangan jemaah.

“Tambahan pula, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dimulakan, sambutan bagi pemeriksaan kesihatan ini semakin menggalakkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika kunjungan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dr Farhaana Husainy Hasbullah bagi meninjau perjalanan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan tersebut.

Perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma itu diadakan pada setiap hari Isnin bermula pukul 8.00 pagi sehingga 10.30 pagi sekali gus menjadi nilai tambah kepada pengurusan masjid.

 

Dr. Farhaana mengunjungi tempat pemeriksaan kesihatan di Masjid Sultan Ismail Chendering