lightning-solid
Berita :
Pesara Jurutera Rugi RM92,781 Terpedaya Pinjaman Tidak Wujud Di Facebook
Pesara Jurutera Rugi RM92,781 Terpedaya Pinjaman Tidak Wujud Di Facebook
Mastura Jamal Din
5 jam yang lepas
43

KUALA TERENGGANU, 16 Ogos – Seorang pesara penolong jurutera kerugian RM92,781 selepas terpedaya dengan tawaran pinjaman wang tidak wujud menerusi aplikasi Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 60 tahun itu tertarik dengan iklan pinjaman wang ketika melayari Facebook pada Jun lalu.

Menurut beliau, mangsa kemudian menghubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp bagi membuat permohonan pinjaman sebanyak RM10,000.

“Suspek meminta mangsa menyerahkan maklumat peribadi termasuk salinan kad pengenalan, bil utiliti, kad pencen dan butiran akaun bank sebelum proses pinjaman kononnya dapat dilakukan.

“Sepanjang tempoh 14 Jun hingga 13 Ogos lalu, mangsa membuat sebanyak 86 transaksi ke dalam 28 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM92,781,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, mangsa terus diminta membuat bayaran tambahan selain diugut akan dikenakan tindakan mahkamah sekiranya gagal berbuat demikian.

Katanya, sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanannya sendiri, manakala RM50,000 lagi diperoleh melalui pinjaman daripada 10 rakan terdekat.

“Mangsa yang menyedari dirinya dipercayai telah ditipu tampil membuat laporan polis pada 15 Ogos lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman yang diiklankan menerusi media sosial, khususnya yang meminta bayaran pendahuluan atau bayaran tambahan sebelum pinjaman diluluskan.

Masyarakat juga dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu dan tidak menyerahkan maklumat peribadi serta perbankan kepada pihak yang tidak dikenali.


Tag :

Artikel Berkaitan