• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Peserta Projek RMM Kemas Sejahtera Terima Kunci

MARANG, 10 Jun - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah seramai 25 ketua keluarga susulan menerima kunci rumah melalui projek Rumah Mampu Milik (RMM) Kemas Sejahtera, di Kampung Mak Kemas, di sini hari ini.

Penyerahan RMM Kemas Sejahtera (dahulu dikenali sebagai My Beautiful New Home- MyBNHome) kepada penerima yang terdiri daripada golongan B40 itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Samsuri memaklumkan, projek hasil usahasama antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) yang dibangunkan di atas tanah seluas 6.0 ekar menyediakan sebanyak 50 unit rumah berkembar setingkat untuk keselesaan peserta.

“Terima kasih kepada yang terlibat dalam menjayakan projek ini termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan (Bahagian Perumahan), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), MOF serta Bank Simpanan Nasional.

“Tahniah juga kepada para penerima rumah yang sudah tentu sangat teruja berada di rumah baru mereka ini dan diharap agar penghuni dapat menjaga kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan persekitaran rumah masing-masing supaya ianya menjadi contoh,” ujarnya ketika berucap menyempurnakan majlis penyerahan tersebut, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 25 daripada 50 ketua keluarga terpilih telah menerima kunci rumah dan bakinya akan diserahkan kemudian.

Mengulas lanjut katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran, dengan berkat kerjasama dan kerja keras semua pihak projek tersebut dapat disiapkan sekaligus dapat mengelak dari menjadi projek terbengkalai.

“Projek perumahan ini telah bermula pada 5 Februari 2018 namun tergendala seketika disebabkan masalah teknikal serta Covid-19 tetapi diteruskan semula pada 12 Julai 2022. 

“Projek pembinaan RMM dengan kos keseluruhan bernilai RM6 juta ini telah berjaya disiapkan sepenuhnya dengan memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 18 Ogos 2023 oleh pihak Kontraktor Aza Ventures Sdn.Bhd,” jelasnya.

Untuk rekod, keluasan setiap rumah bagi projek RMM Kemas Sejahtera adalah 718.902 kaki persegi yang mempunyai ruang meletak kenderaan, ruang tamu, ruang makan, ruang dapur, 3 bilik tidur, bilik air dan tandas. 

Selain itu, terdapat kemudahan lain seperti Compact Substation TNB, tapak tadika, tapak surau, tapak penjaja, tapak tangki air dan kebuk sampah.

Kerajaan telah menetapkan harga rumah mampu milik ini RM40,000 seunit, namun begitu, harga yang dijual kepada peserta adalah sebanyak RM20,000 di mana kerajaan telah memberi subsidi sebanyak RM20,000 bagi setiap unit rumah yang dibangunkan.

Manakala RM20,000 lagi akan dibiayai oleh peserta menerusi pinjaman Bank Simpanan Nasional. Tempoh pembiayaan adalah selama 10 tahun iaitu dengan kadar bayaran sebanyak RM196 sebulan.